Monday, November 22, 2010 Tags: 0 comments

Aidilfitri, Hari Kemerdekaan 2011 serentak


Berita Minggu 8 Oktober 2006

Aidilfitri, Hari Kemerdekaan 2011 serentak

Oleh Ziauddin Sharuddin

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dijangka menyambut 1 Syawal serentak dengan Hari Kemerdekaan negara dalam tempoh lima tahun lagi berikutan Aidilfitri pada 2011 jatuh pada 31 Ogos.
Naib Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata tiada siapa pernah memikirkannya sejak negara merdeka pada 31 Ogos 1957.

“Jika berlaku perubahan tarikh, perbezaannya hanya membabitkan sehari,” katanya kepada Berita Minggu mengenai tarikh awal Ramadan dan Syawal bagi tempoh 30 tahun (2000-2030).

Syed Kamarulzaman berkata, anak bulan Syawal dijangka tidak dapat dilihat pada hari melihat anak bulan, 29 Ramadan atau 22 Oktober ini.

Beliau berkata, pengiraan hisab mendapati hilal (anak bulan) tidak memenuhi kriteria imkanu rukyah 1991 seperti umur hilal ketika ghurub (terbenam) sekurang-kurangnya 8 jam selepas itjimak (proses pemisahan fasa bulan lama, Ramadan, ke bulan baru, Syawal).

Katanya, umur hilal dijangka hanya lima jam 50 minit, manakala altitud (ketinggian) dari ufuk dijangka hanya -0 darjah 09” sedangkan syaratnya ialah sekurang-kurangnya dua darjah.

“Waktu bulan ghurub (terbenam) adalah serentak dengan matahari ghurub, iaitu jam 7.04 malam, sedangkan untuk melihat hilal, matahari perlu ghurub terlebih dulu dan baru hilal muncul,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Aidilfitri dijangka disambut pada 24 Oktober apabila Ramadan digenapkan kepada 30 hari.

Sementara itu, katanya antara faktor utama menyebabkan anak bulan sukar kelihatan di Semenanjung ialah faktor pulau Sumatera kerana wap panas semula jadi dari pulau itu membentuk awan rendah. Ini belum lagi keadaan jerebu yang melanda sekarang.

“Melihat anak bulan adalah ke arah barat kerana matahari dan bulan bergerak ke arah itu, tetapi apabila melihat ke arah barat, wap panas semula jadi dari Sumatera naik dan membentuk awan rendah. Ini belum lagi keadaan jerebu yang melanda sekarang.

“Di Sumatera, melihat anak bulan lebih mudah kerana yang ada ialah Lautan Hindi terbentang luas,” katanya.

Syed Kamarulzaman berkata, beliau pernah melihat anak bulan di Pulau Pinang, tetapi secara keseluruhan, kejayaan melihat anak bulan amat rendah di negara ini.

BERSERAH KEPADA ALLAH

No Response to "Aidilfitri, Hari Kemerdekaan 2011 serentak"

Post a Comment